Search This Blog

Tuesday, January 11, 2011

Kasihku dan AnugerahNya


Sudah lebih dua belas abad umat Israel menjalankan upacara korban untuk menebus dosa mereka. Akan tetapi perhatian mereka telah beralih dari Pemberi Hukum Taurat kepada Taurat itu sendiri. Mereka seterusnya terjerumus ke dalam perhambaan. Allah berulang-ulang kali berusaha memanggil mereka kembali. Dia bersabda, “Yang penting ialah hatimu - bukan pekerjaanmu. Aku ingin engkau mengasihiKu. Setelah itu barulah patuhi perintah-perintahKu.”
Kita mungkin berkata, "Saya berfikir Perjanjian Lama hanya berurusan dengan Hukum Taurat dan bukannya dengan kasih". Tidak demikian kesnya. Nabi Musa ada memberitahu umat Israel ini:
Haruslah engkau mengasihi Tuhan, Allahmu, dan melakukan dengan setia kewajibanmu terhadap Dia dengan sentiasa berpegang pada segala ketetapanNya, peraturanNya dan perintahNya (Ulangan 11:1).
Allah meletakkan satu syarat kepada janjiNya pada Israel yang menjanjikan bahawa tanah milik Israel itu akan subur bagi mereka. Syarat itu berlandaskan atas kasih dan bukan perbuatan.
Bacalah syarat itu sepertimana yang telah dicatat di dalam buku Ulangan bab 11 ayat 13 hingga 15.
Jika kamu dengan sungguh-sungguh mendengarkan perintah yang ku sampaikan kepadamu pada hari ini, sehingga kamu mengasihi Tuhan, Allahmu, dan beribadah kepadaNya dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu, maka Ia akan memberikan hujan untuk tanahmu pada masanya, hujan awal dan hujan akhir, sehingga engkau dapat mengumpulkan gandummu, anggurmu dan minyakmu, dan Dia akan memberi rumput di padangmu untuk haiwanmu, sehingga engkau dapat makan dan menjadi kenyang.
Allah memusatkan perhatianNya kepada kasih kita terhadapNya dan bukan ketaatan yang penuh kepada hukum Taurat. Tuhan tahu bahawa bukan sahaja sulit bagi umat Israel untuk mematuhi hukum Taurat, ianya mustahil. Alkitab ada menyatakan bahawa
Tidak seorang pun yang dibenarkan kerana melakukan hukum Taurat, tetapi hanya oleh kerana iman dalam Kristus Yesus .... sebab tidak ada seorang pun yang dibenarkan oleh kerana melakukan hukum Taurat (Galatia 2:16).
Adalah mustahil untuk mematuhi kehendak Allah dengan kekuatan kita sendiri. Ada seorang pernah berkata, "Menghayati kehidupan Kristian bukanlah sukar, ianya mustahil" Kerana itu Allah mengutus Roh Kudus untuk hidup di dalam hati kita dan menyanggupkan kita untuk mematuhi perintah-perintahnya. Dengarlah apa yang diberitahu Tuhan kepada nabi Yehezkiel di dalam buku Yehezkiel bab 36 ayat 27.
Begini bunyinya,
RohKu akan Ku berikan diam di dalam batinmu dan Aku akan membuat kamu hidup menurut segala ketetapan Ku dan tetap berpegang pada peraturan-peraturan Ku dan melakukannya.
Saya percaya bahawa orang Kristian pada abad pertama juga mengetahui fakta ini, iaitu bahawa kita tidak dibenarkan oleh amal baik melainkan oleh iman kepada Allah. Dalam buku Kisah Para Rasul ada dikisahkan tentang beberapa orang yang datang dari Yudea ke Antiokhia dan mengajar orang Kristian di situ. Mereka berkata, "Jikalau kamu tidak disunat menurut adat istiadat yang diwariskan oleh Musa, kamu tidak dapat diselamatkan".
Sebahagian dari murid Yesus telah diutus ke Yerusalem untuk membicarakan persoalan ini. Setelah melalui banyak perbahasan, rasul Petrus berdiri dan berkata:
Hai saudara-saudara, kamu tahu, bahawa telah sejak mula lagi Allah memilih saya dari antara kamu, supaya dengan perantaraan mulutku bangsa-bangsa lain mendengar berita Injil dan menjadi percaya. Dan Allah, yang mengenal hati manusia, telah menyatakan kehendak Nya untuk menerima mereka, sebab Ia mengurniakan Roh Kudus juga kepada mereka sama seperti kepada kita, dan Ia sama sekali tidak mengadakan perbezaan antara kita dengan mereka, sesudah Ia menyucikan hati mereka oleh iman (Kisah Para Rasul 15:7-9).
Taurat menuntut penyunatan, tetapi yang dituntut oleh perjanjian yang baru hanyalah iman. Ingatlah hal ini, Taurat dan perbuatan amal merupakan lawan anugerah dan rahmat.
Taurat berkata, "Ikutlah peraturan-peraturan ini." Anugerah Allah berkata, "Itu adalah suatu pemberian percuma". Taurat berkata, "Lihatlah dosamu". Anugerah Allah berkata, "Allah menerima kamu dengan segala apa yang ada padamu". Taurat berkata, "Lakukanlah atau mati". Anugerah Allah berkata, "Terimalah Yesus sebagai Juruselamat dan hiduplah".

No comments:

Post a Comment